ANDA perlu meneliti jumlah ikan yang bakal ditempatkan di dalam kolam.
ANDA perlu meneliti jumlah ikan yang bakal ditempatkan di dalam kolam.
POPULASI yang terlalu sedikit menyebabkan ikan sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya, apabila terlalu banyak boleh menyebabkan ikan berebut makanan dan oksigen.
POPULASI yang terlalu sedikit menyebabkan ikan sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya, apabila terlalu banyak boleh menyebabkan ikan berebut makanan dan oksigen.
myMetro

Kolam hiasan bukan saja menyejukkan persekitaran taman, malah antara elemen penting landskap dalam mengilhamkan ketenangan.

Ikan koi yang diletakkan dalam kolam juga memberikan impak berbeza.

Apatah lagi ikan koi ada pelbagai corak pada badannya dan gerak lincahnya membuatkan ia sangat sesuai dijadikan terapi tekanan. Biasanya, ikan koi tidak dipelihara di dalam akuarium, melainkan di dalam kolam.

Anda yang berminat membina kolam ikan koi perlu mengambil kira pelbagai aspek. Pertama, dari segi pemilihan lokasi sama ada kolam di bahagian dalam atau luar bangunan.

Kolam dalam biasanya hanya mendapat sedikit cahaya matahari. Suhunya pula cenderung sejuk dan memerlukan teknik tertentu supaya lebih panas.

Ia sepatutnya dihasilkan supaya ikan koi sentiasa sihat dan kitaran hidup dalam kolam itu juga sempurna.

Bagi kolam luar pula, sudah tentu banyak terdedah dengan cahaya matahari. Justeru, teknik tertentu turut diperlukan supaya suhu tidak terlalu panas terutama siang.

Tidak dinafikan kolam yang berada di luar lebih mudah terdedah dengan kotoran.

Kedua, perancangan bentuk kolam juga penting kerana biasanya terdapat tiga jenis iaitu bersegi, lingkaran dan bebas.

Bentuk bersegi digunakan jika anda ingin menciptakan gaya kolam yang formal. Gaya ini sesuai untuk pelengkap rumah minimalis, moden dan ruang untuk keperluan rasmi.

Kolam berbentuk lingkaran sesuai untuk rumah bergaya elegan, mewah, tradisional dan ruang tidak formal.

Sementara kolam berbentuk gaya bebas pula sesuai diaplikasikan pada rumah penginapan seperti vila dan hotel.

Ketiga, perancangan sistem penapisan harus diberi perhatian kerana kolam ikan koi perlu dilengkapi sistem penapisan untuk menghasilkan oksigen dan menjaga kebersihan air kolam.

Lazimnya, ia membabitkan dua jenis iaitu saluran air bersih dan air kotor. Pada saluran air bersih, air hasil pengolahan penapis dialirkan kembali ke dalam kolam.

Saluran air kotor pula berfungsi menyedut air dan kotoran untuk dialirkan ke sistem penapisan.

Keempat menentukan saiz kolam kerana kedalaman ideal untuk ikan koi adalah satu meter atau lebih daripada 1.5 meter bergantung kepada saiz ikan itu.

Anda juga perlu meneliti populasi ikan yang bakal ditempatkan di dalam kolam.

Populasi yang terlalu sedikit menyebabkan ikan sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya, apabila terlalu banyak boleh menyebabkan ikan berebut makanan dan oksigen.

Kelima, dari segi penggalian tanah, konkrit dan pemasangan batu-bata. Apabila galian tanah benar-benar kering, langkah selanjutnya adalah konkrit.

Proses konkrit harus dilakukan dengan cepat supaya tidak terjadi rembesan semula air tanah.

Begitu juga ketika pemasangan batu-bata yang memerlukan teknik yang betul supaya kolam kukuh dan tidak mudah rosak.

Seterusnya proses melepa (plaster) untuk kemasan kolam supaya permukaannya tidak melukakan ikan koi.

Dapatkan sebanyak mungkin maklumat atau langkah menghilangkan alkali yang terkandung dalam simen dan lapisan sesuai supaya kolam tidak mudah retak.

Elakkan meletak terus ikan koi dalam kolam

Minggu pertama, kolam perlu ditukar airnya setiap hari dengan ditambah ubat pembunuh kulat dan kutu.

Kemudian pada minggu kedua hingga ketiga, kolam perlu diberikan probiotik. Pada minggu keempat

hingga tempoh sebulan, cuba kesesuaian kolam berkenaan.

Tempatkan ikan koi ‘murah’ ketika proses percubaan bagi mengelak anda mengalami kerugian. Amati kitaran hidup ikan koi itu selama dua minggu. Jika ikan kelihatan sihat, bermakna kolam berkenaan sudah layak digunakan untuk ikan koi kegemaran anda.

Bagaimanapun, perlu berhati-hati ketika melepaskan ikan ke dalam kolam. Langkah pertama memasukkan ikan bersama bekas plastiknya ke dalam kolam dan biarkan lebih kurang satu jam.

Ini penting supaya suhu air dalam beg plastik selari dengan suhu kolam hingga ikan lebih mudah ikan menyesuaikan diri.

Pelepasan ikan itu sebaiknya dilakukan pagi ketika matahari tidak terik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:18 AM