Norasikin Daineh


TINDAKAN pantas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Jawa di Labuan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada seorang kanak-kanak menyelamatkan mangsa berusia tujuh tahun itu daripada lemas.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang di kolam renang sebuah hotel di Labuan itu, Penolong Penguasa Bomba Riham Abdollah kebetulan berada di situ kerana membawa keluarga beriadah berikutan cuti hujung minggu.

Pada masa sama, kanak-kanak lelaki, Farrel Owen, 7, disedari hampir lemas oleh orang awam ketika mandi di kolam renang berkenaan sebelum membantu membawanya keluar dari kolam renang.

Riham, 38, berkata dia dimaklumkan oleh rakannya, ada seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri dan sudah dibawa keluar dari kolam renang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Saya segera periksa di tiga bahagian anggota badan kanak-kanak itu dan didapati sudah tiada nadi dan dalam keadaan pucat, tetapi saya cuba sedaya upaya memberi bantuan CPR bersama seorang lagi orang awam.

“Syukur dalam tempoh lima minit selepas itu, kanak-kanak berkenaan bernafas semula,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Riham yang berkhidmat selama 17 tahun dalam pasukan bomba berkata, selepas diberi bantuan CPR, kanak-kanak itu masih tidak sedarkan diri cuma boleh bernafas seperti biasa.

“Dalam masa sama, saya menghubungi pasukan bomba dan ambulans untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan lanjut kepada kanak-kanak itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya tidak leka sekiranya membawa anak mereka bermain atau mandi di kawasan kolam.

“Walaupun kanak-kanak datang bersama ibu bapa masing-masing, mungkin ada yang tidak menyedari sehingga berlaku kejadian tidak diingini.

“Ibu bapa atau penjaga kena pantau anak mereka 100 peratus kerana kita bimbang jika lambat untuk diselamatkan, kita akan menanggung penyesalan seumur hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 1:29 PM