ANTARA peserta yang menyertai Marathon Chasers. FOTO/AGENSI
ANTARA peserta yang menyertai Marathon Chasers. FOTO/AGENSI
AFP

SEOUL: Jumlah pelancong meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas di Korea Utara hari ini, bagi menyertai Marathon Chasers iaitu larian tahunan yang diadakan di Pyongyang sekaligus meredakan ketegangan ke atas negara itu, kata firma pelancongan.

Acara itu adalah bagi meraikan ulang tahun kelahiran pengasasnya Kim Il Sung pada 1912 menerusi larian atau joging di jalan raya di bandar berkenaan dengan kawalan ketat.

Sekurang-kurangnya 950 pelancong Barat menyertai acara itu, menurut Koryo Tours, berbanding hanya sekitar 450 orang pada tahun lepas.

Jumlah itu hampir menyamai penyertaan pelancong pada 2017, sebelum berlakunya ketegangan akibat peluru berpandu Korea Utara dan ancaman perdagangan dan penghinaan peribadi antara Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pada tahun sama, Washington juga menghalang warganya dari melawat Korea Utara susulan kematian seorang pelajar Amerika Syarikat, Otto Warmbier yang dipenjarakan atas cubaan mencuri poster propaganda, mati dalam keadaan koma selepas dibebaskan.

Walaupun Amerika Syarikat masih meneruskan pengharaman itu, lebih ramai pelancong Barat menyertai maraton kali ini, kata pengendali pelancongan, selepas setahun diplomasi diadakan antara Trump dan Kim.

Setiap tahun, sebahagian besar pelancong ke Korea Utara adalah orang Cina dan lebih kurang 5,000 pengunjung Barat melawat negara itu meliputi kira-kira 20 peratus dari Amerika Syarikat bertujuan menikmati keunikan di negara paling tertutup di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:49 PM