Foto hiasan Reuters
Foto hiasan Reuters
BERNAMA

Hanoi: Kementerian Kesihatan (MoH) Vietnam memberi amaran tentang potensi risiko penularan semula wabak Covid-19 susulan kemunculan varian baharu.

Wabak Covid-19 bagaimanapun masih terkawal, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kementerian itu.

Vietnam tidak merekodkan sebarang kematian berkaitan Covid-19 sejak dua minggu berturut-turut. Antara pesakit kritikal yang dirawat pula, tiada kes yang memerlukan bantuan alat penafasan.

Kementerian itu berkata dokumen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan subvarian XBB.1.5 Omicron yang ditemui baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS), adalah punca peningkatan jangkitan Covid-19 di AS.

Subvarian ini telah dikesan di Eropah, Australia dan sebahagian kawasan Asia Tenggara.

Ketua Perwakilan WHO di Vietnam, Angela Pratt berkata langkah diagnostik dan perlindungan semasa masih kekal, termasuk vaksin Covid-19 yang diluluskan WHO.

MoH meminta pihak berkuasa berkaitan supaya meningkatkan pengawasan di pintu sempadan, kawasan awam dan premis perubatan bagi mengesan dan segera mengurus kes yang disyaki, terutama yang masuk dari kawasan yang merekodkan wabak Covid-19 selain kemunculan varian baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 5:04 PM