LAPANGAN terbang dengan satu landasan di kepulauan Matsu di utara Taiwan. FOTO AP
LAPANGAN terbang dengan satu landasan di kepulauan Matsu di utara Taiwan. FOTO AP
Agensi

Taipei: Tentera Taiwan pada Khamis dilaporkan mendakwa menemui belon pemantauan udara yang terhempas, kemungkinan datang dari tanah besar China.

Berita penemuan itu muncul ketika pertikaian antara China dan Amerika Syarikat (AS) mengenai belon pemantauan, lapor Reuters.

Taiwan mendakwa berlaku peningkatan gangguan oleh angkatan tentera Beijing sejak tiga tahun lalu, termasuk jet pejuang dan dron yang terbang berhampiran pulau.

Beijing melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang mesti diambil alih secara paksa jika perlu.

Tentera Taiwan berkata, tentera di pulau Dongyin sebahagian daripada kepulauan Matsu yang dikawal oleh Taiwan di luar pantai bandar tanah besar Fuzhou, memerhatikan objek tidak diketahui jatuh dari langit, kemudian menemui sisa belon itu.

Menurutnya, sfera berdiameter kira-kira satu meter dengan kotak instrumen ditandakan aksara Cina ringkas yang digunakan di tanah besar dan tidak di Taiwan iaitu Taiyuan Radio No. 1 Factory Co., Ltd.; GTS13 digital atmospheric sounding instrument dan meteorological instrument.

Taiyuan ialah bandar utama di utara China.

Tentera Taiwan dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati serpihan belon itu adalah alat pengesan meteorologi yang dikumpulkan oleh jabatan berkaitan untuk penilaian lanjut.

Kementerian Pertahanan Taiwan pada Selasa berkata, pihaknya tidak melihat sebarang belon pemantau dari tanah besar di kawasan sekitarnya susulan pertikaian China dan Amerika Syarikat mengenai belon pemantau yang mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan ketenteraan.

Dongyin terletak di Selat Taiwan di laluan penting bagi tentera darat yang mungkin menyerang Taiwan dari wilayah timur Zhejiang.

Tahun lalu, Taiwan berkata, sebuah pesawat kecil China terbang dekat dengan Dongyin dan mengesyaki Beijing mengerahkan pesawat untuk menguji tindak balas tentera Taiwan.

Beijing juga mengerahkan dron ke pulau yang dikuasai Taiwan berhampiran pantai tanah besar China pada Ogos lalu apabila Beijing mengisytiharkan perang yang hanya berakhir selepas tentera Taiwan menembaknya jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:08 PM