KEITH Simms. FOTO Agensi
KEITH Simms. FOTO Agensi
Reuters

Sydney: Polis di Sydney mengenal pasti perogol bersiri yang melakukan serangan seksual terhadap 31 wanita dalam tempoh 15 tahun.

Menggunakan teknologi DNA, polis mengenal pasti Keith Simms, 66, dan mengaitkannya dengan 12 kes rogol.

Simms juga dikaitkan dengan 19 jenayah lain antara 1986 dan 2001, menurut laporan dari 7NEWS Australia.

Polis di New South Wales berkata, dia menyasarkan wanita berumur antara 14 dan 55 tahun, memasuki rumah mereka atau menculik mereka ketika mereka keluar berjalan-jalan atau berjoging.

"Polis diberitahu lelaki itu sentiasa sama ada bersenjatakan pisau atau mengancam dengan pisau dan bercakap dengan loghat Australia," kata mereka.

Mangsanya memberikan penerangan yang sama dan mengenal pasti ketinggian penyerang antara 160 hingga 180 sentimeter, berkulit gelap, mata coklat dan hidung lebar.

Simms juga menutup mukanya dan memakai pakaian kasual seperti tracksuit, hoodie atau seluar pendek bola sepak.

Simms meninggal dunia pada Februari tahun ini, hanya beberapa bulan sebelum pegawai dapat menyoalnya.

Pada 2019, pihak berkuasa memetakan 324 individu daripada lima cabang salasilah keluarga Simms.

Mereka kemudian mengecilkannya kepada 120 orang dan menilai berdasarkan umur dan lokasi individu yang diketahui pada masa serangan.

Pada September, sampel yang diambil daripada mangsa sepadan dengan sempurna dengan Simms, lapor BBC.

Penyiasat yang menyampaikan berita itu kepada keluarga Simms berkata, mereka "terkejut".

"Kami bertemu dengan isterinya dan dia benar-benar terkejut," kata detektif Sarjan Shelley Johns kepada The Daily Telegraph.

Rakan dan keluarga menyifatkan beliau sebagai seorang bapa, datuk dan ahli masyarakat yang penyayang.

Pegawai penyiasat menghubungi mangsa dan memaklumkan mereka walaupun penyerang mereka sudah dikenal pasti, tindakan undang-undang tidak boleh diambil kerana kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 12:54 PM