GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Sydney: Rakyat Australia diberi amaran berhubung kegiatan penipuan mesej mencurigakan yang menyebabkan kerugian lebih daripada AS$ 2 juta (kira-kira RM8.9 juta) sejak Januari.

Portal 7NEWS melaporkan, penipuan yang dipanggil 'ibu dan ayah' itu menyasarkan individu di seluruh negara sejak awal tahun dan ia dilaporkan semakin berleluasa.

"Penipuan yang dikenali sebagai penipuan 'ibu dan ayah' membabitkan perbuatan suspek yang menghantar mesej kepada ibu bapa di WhatsApp mendakwa sebagai anak mereka dan meminta wang atau membayar bil.

"Suspek mungkin menyamar sebagai keluarga dan rakan untuk mendapatkan kepercayaan segera.

"Jika kamu menerima mesej daripada seseorang yang mendakwa mereka mempunyai nombor baharu atau akaun bank baharu, hubungi mereka terus pada nombor biasa mereka untuk mengesahkan.

"Jangan sesekali pindahkan wang kepada sesiapa melainkan kamu sudah bercakap dengan mereka secara peribadi dan mengesahkan butiran pemindahan dengan orang yang kamu kenali," demikian amaran polis Sydney menerusi hantaran di Facebook.

Sejak Januari hingga pertengahan Julai lalu, lebih 600 laporan membabitkan penipuan dibuat kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC).

Kira-kira satu pertiga daripada laporan itu mencatatkan kerugian kewangan berjumlah lebih daripada AS$ 2.3 juta (kira-kira RM10.2 juta), lapor jurucakap ACCC kepada 7NEWS.com.au.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 10:09 AM