GAMBAR yang diedarkan Agensi Pusat Berita Korea Utara menunjukkan peluru berpandu yang dilepaskan di sebuah lokasi rahsia di negara itu lewat Jumaat lalu.  - Agensi
GAMBAR yang diedarkan Agensi Pusat Berita Korea Utara menunjukkan peluru berpandu yang dilepaskan di sebuah lokasi rahsia di negara itu lewat Jumaat lalu. - Agensi
Agensi

Seoul: Korea Utara semalam berkata, ujian peluru berpandu balistik rentas benua (ICBM) yang terbarunya adalah amaran yang menyasarkan Amerika Syarikat kerana usaha negara itu untuk menguatkuasakan sekatan baru terhadap Pyongyang di samping ancaman serangan balas jika ia diprovokasi secara ketenteraan oleh Washington.

Korea Utara mengadakan ujian kedua senjata berkenaan lewat Jumaat lalu dengan pemimpinnya Kim Jong-Un bermegah dengan keupayaan negaranya mampu menyerang sehingga ‘semua tanah besar Amerika Syarikat.’

Butir teknikal mengenai ujian itu menunjukkan ia lebih kuat berbanding senjata pertama yang diuji 4 Julai lalu dan secara teorinya mampu menjejaki pantai timur Amerika Syarikat, menurut pakar.

“Ujian ICBM kali ini bertujuan untuk memberi amaran tegas kepada Amerika Syarikat supaya tidak membuat kenyataan mengarut seperti mengenakan sekatan dan memberi tekanan terhadap DPRK (Korea Utara),” menurut kenyataan Kementerian Luar yang disiarkan agensi berita rasmi negara itu, KCNA.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran ia tidak akan membenarkan China, satu-satunya sekutu kuat Korea Utara untuk membiarkan sahaja Pyongyang.

Trump yang tidak bersependapat dengan Beijing mengenai cara untuk menangani rejim Kim berulang kali mendesak China mengekang jirannya itu tetapi China tetap bertegas menyatakan, dialog adalah satu-satunya cara yang praktikal untuk mengatasi masalah Korea Utara.

Amerika Syarikat turut semalam mengerahkan dua pesawat pengebomnya terbang merentasi semenanjung Korea Utara dalam latihan bersama antara Jepun dan Korea Selatan, langkah yang dilihat untuk menunjukkan kekuatannya kepada Korea Utara.

Bagaimanapun Pyongyang menggesa Washington supaya ‘bangkit daripada mimpi bodohnya supaya tidak menyerang DPRK.’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:44 AM