Najib bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Pekan di Dataran Tasik Sultan Abu Bakar. FOTO Zulkepli Osman
Najib bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Pekan di Dataran Tasik Sultan Abu Bakar. FOTO Zulkepli Osman
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MALAYSIA tawar tanah seluas kira-kira 16 hektar di Putrajaya bagi membangunkan Pusat Keamanan Antarabangsa King Salman (KSCIP).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan KSCIP yang sudah dibincangkan sebelum ini akan tetap didirikan di Malaysia sebagai lambang betapa penting institusi berkenaan kepada umat Islam di seluruh dunia.

"Saya dimaklumkan beliau (Raja Salman Abdulaziz Al Saud) sahkan pusat itu akan didirikan di Malaysia dan kerajaan Malaysia tawar sebidang tanah 40 ekar (16 hektar) di Putrajaya untuk pusat ini beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2017 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, hari ini.

KSCIP yang beribu pejabat di Kuala Lumpur memulakan operasi Mei lalu dan dirasmikan Raja Salman bagi tujuan mengumpul ilmuan, pakar risikan selain tenaga kerja Kementerian Pertahanan di rantau ini dalam usaha menangani isu ekstremisme dan keganasan melampau.

Ia beroperasi secara sementara di ibu negara sebelum mempunyai kompleks sendiri.

Najib berkata, Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed Salman juga akan melawat Malaysia dalam masa terdekat sekali gus melancarkan kompleks berkenaan.

"Saya akan bersama-sama Putera Mohammed Salman mewakili kerajaan Malaysia untuk melancarkan pusat itu.

"Pada hakikatnya kita (Malaysia) sudah mendapat sanjungan daripada negara luar terutama Arab Saudi. Raja Salman boleh pilih mana-mana negara Islam yang lain tetapi mengapa dia memilih Malaysia. Ia satu pengiktirafan buat kita sebenarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:50 PM