TENTERA berkawal di luar sebuah bank di Beirut susulan kejadian pendeposit ‘merompak’ berkenaan. FOTO EPA
TENTERA berkawal di luar sebuah bank di Beirut susulan kejadian pendeposit ‘merompak’ berkenaan. FOTO EPA
AFP

Beirut: Lima bank di Lubnan diserang pada Jumaat oleh pendeposit, dalam usaha mereka untuk mengeluarkan simpanan yang dibekukan.

Ia adalah insiden terbaru dalam rentetan 'rompakan' sedemikian di negara dilanda krisis ekonomi itu.

Lebih dua tahun Lubnan terperangkap dalam krisis ekonomi sejak nilai mata wangnya mula menjunam, bank mula mengenakan sekatan yang dianggap kejam terhadap pendeposit yang mahu membuat pengeluaran.

Minggu lalu, tujuh cawangan bank menjadi sasaran 'rompakan pendeposit', mendorong bank mengumumkan penutupan selama tiga hari mulai Isnin, menurut Persatuan Bank di Lubnan.

Ketika insiden memuncak pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Bassam Mawlawi mengadakan mesyuarat tergempar pada sebelah petang.

"Menuntut semula hak dengan cara ini boleh merosakkan sistem dan menyebabkan pendeposit lain kehilangan hak mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Pendakwa Raya Ghassan Oueidat menggesa polis menangkap semua yang terbabit dalam rompakan itu.

Beliau menyifatkan ia sebagai rompakan bersenjata ke atas bank dengan tujuan menghentikan sektor perbankan di Lubnan daripada beroperasi, seterusnya mencetuskan lebih banyak krisis kewangan dan ekonomi.

Oueidat juga meminta polis menyiasat sama ada mana-mana rompakan itu ada kaitan antara satu sama lain, kata sumber kehakiman kepada AFP.

Penahanan seorang pendeposit bank di Beirut pada Rabu yang menggunakan pistol mainan nampaknya mencetuskan beberapa siri aksi sama oleh pendeposit yang marah.

Pada Jumaat, terdapat tiga lagi insiden sedemikian di Beirut dan dua di selatan Lubnan, kata wartawan AFP dan sumber keselamatan.

Dalam satu kes, seorang lelaki yang membawa pistol dan bahan api meminta kakitangan di cawangan bank Byblos di bandar selatan Ghaziyeh menyerahkan wang simpanannya.

Dia yang diiringi anak lelaki, mengugut kakitangan bank dengan pistol, yang menurut saluran televisyen Lubnan mungkin mainan, sebelum membuat tuntutannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 11:36 AM