Helikopter Robinson R44 Raven
Helikopter Robinson R44 Raven
AFP

Beirut: Tentera Lubnan menawarkan perkhidmatan melancong menggunakan helikopter minggu ini untuk mendapatkan dana bagi institusi itu ketika negara dilanda krisis.

AFP melaporkan krisis ekonomi yang disifatkan Bank Dunia sebagai antara yang paling buruk sejak 1850-an melanda tentera sehingga mereka berhempas pulas untuk meneruskan hidup.

Dalam pengumuman di laman web, tentera menyatakan mereka memberi peluang kepada orang awam untuk melihat pemandangan Lubnan dari udara dalam penerbangan selama 15 minit.

Aktiviti bersiar-siar menggunakan helikopter Robinson R44 Raven akan bermula Khamis depan dan dibuka untuk penumpang berusia tiga tahun ke atas.

Seramai tiga orang dibenarkan pada setiap penerbangan, dengan caj sekitar $150 (RM624) secara tunai.

"Tujuannya ialah untuk melonjak pelancongan Lubnan dengan cara baru, selain membantu tentera udara," kata sumber tentera kepada AFP.

Krisis ekonomi menjejaskan pendapatan tentera dan mengurangkan peruntukan dalam penyelenggaraan dan peralatan.

Pada pertengahan tahun lalu, pasukan keselamatan itu menyatakan bahawa mereka tidak memasukkan daging dalam makanan ketika bertugas susulan kenaikan harga barang.

Lubnan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi selepas letupan besar di Beirut pada Ogos 2020, mengorbankan 200 orang dan merosakkan bandar di pelabuhan Mediterranean.

Ahli politik gagal membentuk kabinet baharu ketika rizab tunai mata wang asing merosot menyebabkan kekurangan bahan api, elektrik dan ubat-ubatan.

Awal Jun, Perancis menjadi tuan rumah persidangan penderma yang mana 20 negara bersetuju memberikan bantuan kecemasan kepada tentera Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:30 AM