BASSAM al-Sheikh Hussein
BASSAM al-Sheikh Hussein
AFP

Beirut: Seorang lelaki Lubnan yang menyerbu cawangan Bank Persekutuan di Beirut dengan raifal dan menjadikan kakitangan bank itu sebagai tebusan minggu lalu, sudah pun dibebaskan daripada tahanan selepas pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Hakim Ghassan al-Khoury memerintahkan pembebasan Bassam al-Sheikh Hussein selepas bank itu menggugurkan pertuduhan terhadapnya, lapor Agensi Berita Nasional milik kerajaan.

Bassam yang bersenjata api menyerbu bank berkenaan kerana menuntut akses kepada simpanannya yang dibekukan.

Seorang pegawai kehakiman memberitahu AFP bahawa Bassam dibebaskan tetapi masih berkemungkinan menghadapi tuduhan oleh kerajaan.

Berikutan kebuntuan selama berjam-jam Khamis lalu, Bassam menyerah diri selepas bank bersetuju membenarkannya mengeluarkan AS$30,000 (kira-kira RM134,281) daripada lebih AS$200,000 (kira-kira RM895,200) simpanannya yang dibekukan.

Bassam mengambil tindakan drastik untuk mengakses simpanannya supaya dia boleh membayar pembedahan untuk bapanya, lapor media kerajaan.

Insiden itu adalah yang terbaharu antara bank Lubnan dan pendeposit yang marah tidak dapat mengakses simpanan yang sudah dibekukan sejak 2019.

Bassam dipuji sebagai wira oleh ramai penduduk Lubnan yang menyalahkan elit politik dan perbankan negara itu untuk krisis kewangan yang disifatkan Bank Dunia sebagai satu daripada yang paling teruk pada zaman moden.

Dalam laporan bulan ini, Bank Dunia menyalahkan pihak berkuasa kerana menyalahgunakan deposit rakyat sejak 30 tahun lalu, mengguna pendekatan skim 'Ponzi' terhadap kewangan awam yang hanya menguntungkan individu penting dalam politik dan ekonomi, namun pada masa sama mengorbankan pendeposit biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 1:20 PM