FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Beirut: Gara-gara simpanan mata wang asingnya tidak dapat dikeluarkan, seorang pelanggan bank di Lubnan sanggup menjadikan kakitangan institusi kewangan itu sebagai tebusan.

Sumber Bank of Beirut and the Arab Countries (BBAC) berkata, suspek menuntut wangnya sebanyak AS$50,000 (RM209,570) di sebuah cawangan bank di Jeb Janine, di Lembah Bekaa.

"Selepas (permintaannya) ditolak, dia mengacukan pistol dan bom tangan di hadapan kakitangan dan menyiram dirinya dengan petrol sebelum menuangnya ke atas premis dan mengancam untuk membakarnya," katanya.

Media tempatan melaporkan pelanggan itu akhirnya diberikan sebahagian daripada wang simpanannya dan diserahkan kepada pasukan keselamatan.

Sumber keselamatan memberitahu AFP, tiada siapa yang cedera dalam insiden itu.

Lubnan terperangkap dalam krisis ekonomi kritikal sejak 2019, apabila nilai pasaran gelap mata wang tempatan menjunam dan bank mula meletakkan sekatan ke atas pengeluaran mata wang asing.

Pemberi pinjaman juga menghalang wang daripada dipindahkan ke luar negara.

Mata wang tempatan kehilangan kira-kira 90 peratus daripada nilainya di pasaran gelap sejak bermulanya krisis terbabit.

Ini menyebabkan pendeposit menyerbu bank semula dalam beberapa hari kebelakangan ini, menjadikan keadaan sukar dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:51 AM