Persembahan kebudayaan anak-anak warga kedutaan memeriahkan majlis resepsi Hari Kebangsaan ke-65 dan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia di Dewan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan. - FOTO Bernama
Persembahan kebudayaan anak-anak warga kedutaan memeriahkan majlis resepsi Hari Kebangsaan ke-65 dan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia di Dewan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan. - FOTO Bernama
BERNAMA

Jakarta: Seramai 600 tetamu termasuk Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati menghadiri majlis resepsi Hari Kebangsaan ke-65 dan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia yang gemilang pada Rabu malam.

Tetamu yang hadir di Dewan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan terdiri daripada diplomat asing, ahli politik, tokoh media, pemimpin industri tempatan, profesional and ahli perniagaan Malaysia.

Kuasa Usaha Sementara Adlan Mohd Shaffieq dan isteri Nur Nadiah Hidayat, yang juga Penasihat (Caunselor) di Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN dilihat sibuk menyambut mesra tetamu yang tiba.

Antara kenamaan lain yang turut serta ialah Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi, Gabenor Bengkulu Dr Rohidin Mersyah dan Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia Asro Kamal Rokan.

Tetamu dihidangkan dengan satay, char kuey teow, durian Musang King dan teh tarik serta dihiburkan dengan tarian kebudayaan oleh anak-anak warga kedutaan dan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri.

Selesai nyayian lagu kebangsaan dua negara dan bacaan doa, Adlan menjemput dan mengiringi Sri Mulyani ke pentas utama.

Teruja dengan kehadiran ramai jemputan, Adlan menzahirkan keyakinan hubungan Malaysia-Indonesia akan bertahan dalam menghadapi cabaran masa depan di peringkat serantau dan global.

Dalam ucapan alu-aluan, beliau berkata: "Malaysia akan terus bekerjasama rapat memandangkan Indonesia akan menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan."

Menurut beliau, usaha telah dijalankan di pelbagai peringkat bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama di sektor sumber manusia, pelancongan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, pelaburan dan perdagangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri juga telah mengadakan dua lawatan kerja ke Indonesia, pada November 2021 dan April 2022.

Empat memorandum persefahaman berjaya dimeterai dan diperbaharui iaitu pendidikan, kerjasama pertahanan, pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia dan kerjasama kastam.

Kerjasama lain yang sedang diusahakan termasuk pencalonan bersama lima warisan budaya tidak ketara ke UNESCO iaitu kebaya, tarian pinggan, kuda kepang, adat perpatih, dan puisi Teromba, kata Adlan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:31 PM