MULYANI Musa, 36, yang patah kaki kiri dibenarkan pulang dari rawatan di Hospital Tanah Merah balik ke rumah ibu bapa mentuanya di Kampung Dewan Beta untuk mengucup buat kali terakhir dahi suaminya, seorang anggota polis berpangkat koperal, Ahmad Izani Mohd Yusoh, 37 yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jambatan Kusial, Tanah Merah petang semalam. FOTO Zaman Huri Isa

Nor Fazlina Abdul Rahim

SUASANA pilu apabila isteri Allahyarham Koperal Ahmad Izani Mohd Yusoff, Mulyani Musa, 36, yang dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM) dibawa pulang ke rumah dengan ambulans untuk melihat jenazah suaminya buat kali terakhir.

Tetamu yang hadir menitiskan air mata disaat Mulyani mengucup suaminya dengan dibantu ahli keluarga.

Allahyarham adalah seorang daripada yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jambatan Kusial, semalam.

Dalam kemalangan 5 petang itu, isteri mangsa yang juga jururawat di Hospital Kuala Krai (HKK), patah kaki kiri.

Bapa Allahyarham, Mohd Yusof berkata, ketika kejadian, anak sulung daripada lapan beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Krai dari Tanah Merah untuk membeli barang rumah.

"Kami hanya mengetahui kejadian yang berlaku pada 5.30 petang selepas dihubungi polis Kuala Krai.

"Pak cik terus bergegas ke rumah arwah di Kuala Krai untuk menjaga empat anaknya yang masih kecil, manakala ahli keluarga lain menguruskan di hospital.

Mohd Yusoff berkata, Allahyarham sepatutnya mendiami rumah baharu yang dibina di Gaal, Pasir Puteh Jun ini.

"Pak cik tidak sangka hasrat arwah yang teruja untuk memasuki rumah baharu di Kampung Gaal pada Aidilfitiri ini tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Allahyarham disembahyangkan di Masjid Dewan Beta sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam di kampung berkenaan.

Allahyarham yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai meninggalkan empat cahaya mata berusia empat bulan sehingga 11 tahun.

Berita berkaitan

Polis maut, isteri parah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 11:59 AM