FOTO fail menunjukkan serangan rejim zionis di Gaza, pada Mei lalu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan serangan rejim zionis di Gaza, pada Mei lalu. FOTO AFP
AFP

Gaza: Israel melancarkan serangan udara terhadap Gaza, semalam, selepas belon api yang diterbangkan dari wilayah Palestin menyebabkan kebakaran di Israel.

Bagaimanapun, tiada kecederaan di kedua-dua belah pihak.

Serangan Israel menyasarkan kawasan terbuka di utara Gaza dan tempat latihan ketenteraan milik pejuang Islam Hamas di Khan Yunis, kata sumber keselamatan Palestin kepada AFP.

Serangan itu berlaku selepas Israel memotong separuh zon penangkapan ikan di Gaza, sebagai tindak balas biasa berikutan serangan projektil oleh kumpulan bersenjata di Gaza.

Tentera Israel tidak mengulas lanjut mengenai serangan itu namun cabang tentera yang bertanggungjawab untuk urusan sivil di wilayah Palestin (Cogat) memaklumkan zon penangkapan ikan sudah dikurangkan daripada 12 batu nautika menjadi enam batu nautika.

Pada awal Ahad, bomba Israel memaklumkan bahawa pihaknya memadamkan api di tiga tempat di wilayah Eshkol berhampiran sempadan dengan Gaza, dengan menyalahkan belon api sebagai puncanya.

Konflik 11 hari pada bulan Mei menyaksikan Israel melancarkan ratusan serangan udara di Gaza dan Hamas menembak ribuan roket ke Israel.

Sebelum konflik Mei, zon perikanan Gaza berada sejauh 15 batu nautika tetapi Israel mengurangkannya semasa tempoh perang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 11:17 AM