MAHINDA Yapa Abeywardena pada sidang media di Colombo, hari ini. FOTO AFP.
MAHINDA Yapa Abeywardena pada sidang media di Colombo, hari ini. FOTO AFP.
AFP

Colombo: Speaker Parlimen Sri Lanka hari ini mengesahkan menerima peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa secara rasmi.

Gotabaya mengemukakan surat pengunduran itu kepada Mahinda Yapa Abeywardena secara emel, semalam selepas tiba di Singapura dari Maldives.

Beliau melarikan diri selepas Sri Lanka diancam rusuhan akibat krisis ekonomi terburuk yang pernah melanda negara itu.

"Gotabaya sudah meletak jawatan secara rasmi berkuat kuasa Khamis. Saya sudah menerima peletakan jawatan itu," kata Mahinda kepada pemberita di kediamannya.

Menurutnya, badan perundangan akan dipanggil pada Sabtu untuk proses selanjutnya.

"Saya berharap proses pemilihan presiden baharu dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari dan memohon kerjasama semua pihak untuk memenuhi keperluan perlembagaan," katanya.

Berdasarkan perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang turut dituntut penunjuk perasaan supaya meletak jawatan, secara automatik akan menjadi pemangku presiden sehingga pemilihan baharu diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 3:13 PM