WANITA memakai pelitup muka ketika melintas jalan di Shanghai. FOTO AFP
WANITA memakai pelitup muka ketika melintas jalan di Shanghai. FOTO AFP
Reuters

Beijing: Hab kewangan China, Shanghai pada Ahad mengesahkan akan membuka semula semua sekolah termasuk tadika, sekolah rendah dan menengah pada 1 September depan selepas ia ditutup berbulan lamanya akibat pandemik Covid-19.

Justeru, semua guru dan pelajar dikehendaki mengambil ujian asid nukleik untuk Covid-19 setiap hari sebelum meninggalkan sekolah, kata Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Shanghai.

Guru dan pelajar juga perlu menjalankan pengurusan kesihatan diri selama 14 hari di dalam bandar sebelum pembukaan semula sekolah, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Shanghai menutup semua sekolah pada pertengahan Mac sebelum ia ditutup selama dua bulan di bandar itu untuk memerangi wabak Covid-19 yang paling teruk pada April dan Mei.

Sebahagian pelajar sekolah menengah rendah dan atas dibenarkan untuk kembali ke bilik darjah pada bulan Jun, manakala yang lain meneruskan pengajian baki semester di rumah.

Pengumuman mengenai pembukaan semula sekolah memberi kelegaan kepada ramai penduduk.

Namun, mereka bimbang jika sekatan pergerakan Covid-19 terus berterusan kerana China berikrar untuk berpegang pada dasar 'sifar-Covid' yang memerlukan semua kes positif dan kenalan rapat mereka menjalani kuarantin.

Pada Sabtu, tular video di media sosial China menunjukkan pelanggan menolak pengawal keselamatan dan berlari keluar dari pusat membeli-belah Ikea di tengah Shanghai, dalam keadaan panik .

Ia selepas pengumuman mengenai pusat beli-belah itu dikenakan sekatan pergerakan kerana pengesanan kontak rapat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 10:06 AM