Penduduk Xi’an menjalani ujian pengesanan Covid-19. - FOTO AFP
Penduduk Xi’an menjalani ujian pengesanan Covid-19. - FOTO AFP
AFP

Beijing: Penduduk Xi'an yang dikenakan perintah berkurung berdepan masalah bekalan makanan, walaupun Beijing menegaskan bahawa agihan makanan memadai untuk semua penduduk.

Menteri perdagangan China berkata, penduduk Xi'an seramai 13 juta yang diletakkan di bawah sekatan sejak lapan hari lalu mempunyai bekalan makanan mencukupi.

Stesen televisyen menunjukkan rakaman kakitangan memakai sut hazmat memasukkan telur, daging dan sayuran ke dalam beg plastik sebelum mengagihkan ke setiap kediaman.

Pegawai tempatan berkata, pasukannya menyerahkan ratusan tan makanan dan keperluan percuma setiap hari.

Bagaimanapun, mereka memohon agar penduduk dapat memahami dan bertolak ansur dengan kesukaran yang dihadapi.

"Ketika ini, Xi'an sedang menggiatkan usaha untuk menambah kapasiti dan mengagihkan keperluan dengan lebih pantas," kata pegawai tempatan, Zhao Li.

Penduduk Xi'an yang dihubungi AFP bagaimanapun menyatakan bahawa mereka berdepan masalah kekurangan bekalan makanan mencukupi.

Ada Zhao berkata, dia mengetahui bahawa terdapat kediaman yang menerima penghantaran bekalan namun, jumlahnya sangat kecil.

"Dalam komuniti ini, kami tidak menerima sebarang notis mengenai penghantaran barangan keperluan atau bagaimana untuk menerimanya," katanya.

Seorang wanita yang enggan mendedahkan namanya berkata, dia mempunyai sedikit bekalan di rumah.

"Saya masih ada beras di rumah dan beberapa telur. Hanya sebiji telur saja boleh dimakan setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 7:57 PM