ORANG ramai menjalani ujian calitan Covid-19. FOTO AFP
ORANG ramai menjalani ujian calitan Covid-19. FOTO AFP
AFP

Beijing: Pihak berkuasa di Wuhan hari ini mengumumkan akan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduknya selepas bandar itu melaporkan jangkitan tempatan pertama tahun ini.

Pegawai Kanan Wuhan, Li Tao pada sidang media hari ini berkata, bandar itu dengan kapasiti 11 juta penduduk melancarkan ujian pengesanan segera secara menyeluruh bagi semua penduduk.

Isnin lalu, pihak berkuasa mengumumkan tujuh jangkitan tempatan ditemui dalam kalangan pekerja migran di bandar ini memecahkan rekod tanpa kes domestik sepanjang tahun selepas pertama kali virus itu dikesan, menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan langkah penutupan pada awal tahun lalu.

China melakukan sekatan pergerakan kepada seluruh penduduk di bandar itu untuk memutuskan hubungan pengangkutan domestik dan melancarkan ujian besar-besaran dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk memerangi wabak koronavirus terbesarnya dalam beberapa bulan.

China melaporkan 61 kes domestik pada Selasa di mana varian Delta yang cepat merebak ke puluhan bandar selepas jangkitan dalam kalangan pekerja pembersih lapangan terbang di Nanjing mencetuskan rangkaian kes yang dilaporkan di seluruh negara.

Bandar utama termasuk Beijing kini melakukan ujian saringan kepada jutaan penduduk termasuk perintah sekatan pergerakan kawasan perumahan dan pengesanan kontak rapat yang dikuarantin.

Bandar timur Yangzhou, dekat Nanjing, adalah wilayah tempatan terbaru yang memerintahkan penduduk untuk tinggal di rumah selepas ujian berskala besar mengesan 40 jangkitan baru sehari sebelumnya.

Lebih 1.3 juta penduduk pusat bandar Yangzhou kini dikenakan perintah sekatan pergerakan di kediaman mereka, dengan seorang wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:15 PM