EFE

Kathmandu: Remaja lelaki berusia 18 tahun dari Nepal diiktiraf sebagai remaja paling pendek di dunia oleh Rekod Dunia Guinness (GWR), pada Selasa.

Dor Bahadur Khapangi, yang mempunyai ketinggian 73.43 sentimeter (sm) menerima sijil pengiktirafan itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Nepal Dhananjay Regmi pada program yang diadakan di Kathmandu.

Khapangi dilahirkan pada 14 November 2004, di kampung Tinkanya di daerah Sindhuli, kira-kira 130 kilometer (km) dekat tenggara ibu negara.

Anak bongsu kepada petani, Takkar Bahadur Khapangi dan Rana Maya, Dor Bahadur kini belajar di sebuah sekolah berhampiran dan menetap bersama ibu bapanya.

"Dor Bahadur baik-baik saja ketika dilahirkan. Tumbesarannya bagaimanapun, tidak berkembang sejak berumur tujuh tahun.

"(Tumbesaran) rakan sebayanya bertambah tetapi Dor Bahadur tidak. Kami tidak tahu kenapa," kata Nara Bahadur Khapangi, abang kepada Dor Bahadur, kepada EFE, sambil menambah bahawa pemegang rekod baharu itu pemalu dan kurang bercakap.

Menurut GWR, Edward Hernandez, 36, dari Colombia mempunyai ketinggian 72.10 sm kini lelaki paling pendek, dan rekod itu pertama kali dipegangnya pada 13 April 2010.

Bagaimanapun, gelaran itu dirampas oleh Khagendra Thapa Magar dari Nepal yang mempunyai ketinggian 67 sm dan kemudian, Chandra Bahadur Dangi , seorang lagi lelaki senegara dengan 54.6 sm

Dangi adalah lelaki paling pendek pernah direkodkan apabila ketinggiannya diukur pada 26 Februari 2012.

Dangi meninggal dunia pada Februari 2012 pada usia 75 tahun dan kemudian Khagendra pada Januari 2020.

Selepas itu, Hernandez merampas semula gelarannya sebagai lelaki terpendek di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:27 PM