YANGON. Foto fail AFP
YANGON. Foto fail AFP
AFP

Yangon: Kerajaan Junta Myanmar membenarkan pelancong memohon visa selepas menutup sempadan lebih dua tahun.

Pengumuman yang disiarkan media kerajaan itu semalam mencetuskan gesaan kumpulan aktivis untuk pelancong asing supaya tidak mengambil tawaran berkenaan.

Negara itu menutup sempadan negaranya kepada pelawat sejak Mac 2020 ketika Covid-19 mula melanda dalam cubaan untuk mencegah peningkatan jangkitan.

"Dengan matlamat membangunkan sektor pelancongan, permohonan e-Visa (Pelancong) akan dibenarkan dan diterima mulai 15 Mei 2022," kata notis dalam Global New Light of Myanmar.

Bagaimanapun, tiada butiran mengenai bila pelawat pertama dijangka tiba.

Kumpulan aktivis memberi amaran minat tentera dalam bidang ekonomi termasuk lombong, bank, petroleum, pertanian dan pelancongan bermakna wang pelancong mungkin akan mengalir dalam tabung kerajaan.

"Walaupun pelawat asing mengelak menginap hotel dan menaiki pengangkutan yang dimiliki tentera Myanmar dan sekutunya, mereka tetap akan membiayai Junta melalui yuran visa, insurans dan cukai.

"Kami menyeru sesiapa sahaja yang mempertimbangkan untuk bercuti di Myanmar untuk memboikot," kata kumpulan aktivis Justice for Myanmar.

Selepas demokrasi ditubuhkan pada 2011 berikutan beberapa dekad pemerintahan tentera, Myanmar membuka sempadan negara kepada pelancong sehingga menjadi popular dengan pengembara yang mencari destinasi eksotik jauh dari tempat pengembaraan yang terkenal di Asia Tenggara.

Namun, sejak pandemik sektor pelancongan terjejas dengan negara mencatatkan 40,000 kes harian Covid-19 pada kemuncaknya, tahun lalu, serta merekodkan hampir 20,000 kematian secara keseluruhan.

Pertempuran antara pejuang antirampasan kuasa dan pasukan keselamatan berikutan pengambilalihan kuasa oleh tentera, termasuk di bandar utama Yangon dan Mandalay, juga menjejaskan perniagaan dengan banyak syarikat antarabangsa menarik diri dari negara itu.

Ekonomi merosot dengan mata wang tempatan kyat menjunam berbanding dolar dan gangguan bekalan elektrik di bandar-bandar utama memburukkan lagi keadaan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 11:11 AM