SUU Kyi. FOTO fail AFP
SUU Kyi. FOTO fail AFP
AFP

Yangon: Junta Myanmar semalam, memfailkan kes rasuah ke-11 membabitkan Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Kes terbabit adalah dakwaan terbaharu dalam beberapa dakwaan terhadap bekas pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu yang berdepan hukuman penjara lebih 150 tahun.

Pasukan penerangan Junta dalam satu kenyataan berkata, polis memfailkan pertuduhan rasuah seterusnya terhadap Suu Kyi kerana didakwa menerima AS$550,000 (RM2,298,505) sebagai derma untuk yayasan amal yang dinamakan sempena nama ibunya.

Setiap pertuduhan rasuah membawa kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.

Bagaimanapun, Junta tidak memperincikan tarikh mula prosiding berkenaan.

Penahanan Suu Kyi, 76, sejak rampasan kuasa 1 Februari tahun lalu itu mencetuskan protes besar-besaran hingga lebih 1,500 orang awam terbunuh, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Suu Kyi dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan undang-undang telekomunikasi.

Suu Kyi sudah menjalani perbicaraan kerana melanggar akta rahsia rasmi bersama ahli akademik Australia Sean Turnell serta beberapa pertuduhan berkaitan rasuah lain.

Minggu ini, Junta mengumumkan Suu Kyi akan menghadapi perbicaraan lanjut mulai pertengahan Februari atas tuduhan mempengaruhi suruhanjaya pilihan raya negara semasa pilihan raya 2020 yang menyaksikan partinya mengalahkan saingan bersekutu tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 10:45 AM