TENTERA Myanmar membakar halangan di jalanan yang dibina oleh petunjuk perasaan di Yangon. FOTO AFP
TENTERA Myanmar membakar halangan di jalanan yang dibina oleh petunjuk perasaan di Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Laluan keluar dari bandar terbesar Myanmar ini mengalami kesesakan teruk hari ini, berikutan ramai cuba melarikan diri daripada junta tentera.

Justeru pihak berkuasa di negara jiran, Thailand, memaklumkan bahawa mereka sedang bersiap siaga menghadapi kemasukan beramai-ramai pelarian terbabit.

Pihak berkuasa wilayah Tak di Thailand yang bersempadan dengan Myanmar berkata, mereka sedang menyediakan tempat perlindungan untuk pelarian yang dijangka meningkat.

"Sekiranya ramai penduduk Myanmar melarikan diri merentasi sempadan kerana kes kecemasan, kami sudah menyediakan langkah untuk menerima mereka," kata Gabenor wilayah itu, Pongrat Piromrat.

Beliau berkata, wilayah Tak berupaya menampung kemasukan kira-kira 30,000 hingga 50,000 orang.

Kira-kira 90,000 pelarian dari Myanmar sudah sedia tinggal di sepanjang sempadan itu selepas melarikan diri daripada perang saudara antara tentera dengan kumpulan etnik bersenjata.

Krisis Myanmar kian meruncing sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari lalu yang mencetuskan bantahan besar-besaran.

Sebuah kumpulan pemantau tempatan mendakwa lebih 220 orang disahkan maut, manakala 2,000 lagi ditahan, setakat ini.

Minggu ini, pihak junta menguatkuasakan undang-undang tentera di enam kawasan di Yangon yang menyaksikan hampir dua juta penduduknya berada bawah kawalan langsung oleh komander tentera.

Laporan media tempatan memaparkan trafik sesak teruk di lebuh raya utama menghala ke utara, susulan orang ramai melarikan diri dari Yangon ke kawasan pedalaman.

"Saya tidak lagi berasa selamat. Malah adakala tidak boleh tidur pada waktu malam.

"Saya sangat bimbang akan berlaku kejadian lebih buruk kerana keadaan di tempat tinggal saya kini amat tegang dengan pasukan keselamatan menangkap orang di jalanan," kata seorang penduduk kepada AFP.

Wanita tidak mahu dikenali itu tinggal berhampiran daerah di mana berlaku insiden pasukan keselamatan membunuh penunjuk perasaan, minggu ini.

Katanya, beliau sudah membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman di barat Myanmar dan akan bertolak dalam masa beberapa hari lagi.

Seorang lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai tukang emas memberitahu AFP, beliau meninggalkan Yangon susulan tindakan keras berterusan oleh pihak junta.

"Keadaan terlalu tegang dan saya tertekan untuk terus tinggal di sana. Selepas tiba di kampung halaman, saya berasa lebih lega dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:24 PM