PENDUDUK mendapatkan bekalan air dari lori tangki ketika cuaca panas di New Delhi. FOTO AFP
PENDUDUK mendapatkan bekalan air dari lori tangki ketika cuaca panas di New Delhi. FOTO AFP
Reuters

New Delhi: Cuaca panas ekstrem menyebabkan 25 kematian direkodkan di negeri barat India, Maharashtra akibat strok haba sejak penghujung Mac lalu.

Angka berkenaan tertinggi direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Saintis mengaitkan kejadian itu pada permulaan awal musim panas ekstrem dengan perubahan iklim dan meramalkan lebih 1 bilion orang di India dan negara jiran Pakistan terdedah kepada fenomena itu.

Pegawai kesihatan Maharashtra, Pradeep Awate berkata, kebanyakan kematian di negeri terkaya di India itu berlaku di kawasan luar bandar.

"Kematian ini disyaki akibat strok haba," katanya.

Pihak berkuasa di negeri sebelah timur Odisha pula berkata, seorang lelaki berusia 64 tahun meninggal dunia akibat strok haba pada 25 April lalu dan ratusan yang lain diberi rawatan perubatan.

Sementara itu di Subarnapur, daerah paling panas di Odisha, suhu tertinggi 43.2 darjah Celsius dicatatkan pada semalam.

"Ia sangat panas. Walaupun guna kipas dan penyaman udara tetap tidak berfungsi," kata seorang penduduk Mohana Mahakur.

India ialah pengeluar gandum kedua terbesar di dunia, namun cuaca panas dijangka membantutkan pengeluaran tanaman tahun ini selepas lima tahun penuaian direkodkan.

Apabila permintaan tenaga meningkat, syarikat penjana melihat kekurangan besar-besaran arang batu dan kerajaan merayu kepada mereka untuk meningkatkan import.

India mencatatkan cuaca paling panas dalam tempoh lebih satu abad pada Mac lalu dengan suhu maksimum di seluruh negara meningkat kepada 33.1 darjah Celsius, hampir 1.86 darjah melebihi normal, menurut Jabatan Meteorologi India.

Banyak bahagian utara, barat dan timur India menyaksikan suhu melonjak melepasi 40 darjah Celsius bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 9:56 AM