GUNUNG Berapi Taal. FOTO Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina/ AFP
GUNUNG Berapi Taal. FOTO Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina/ AFP
AFP

Manila: Ribuan penduduk diarah berpindah selepas Gunung Berapi Taal meletus dan mengeluarkan abu dan wap ratusan meter ke langit.

Gunung berapi di tasik di selatan Manila meletus pada 7.22 pagi (waktu tempatan), menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, dalam satu kenyataan.

Ia memberi amaran mengenai letusan susulan mungkin berlaku yang dikatakan boleh mencetuskan aliran gas, abu dan serpihan berbahaya dan bergerak pantas serta tsunami.

Agensi seismologi mengesyorkan penduduk yang tinggal dalam komuniti terdedah di sekitar kawasan gunung berapi itu, dipindahkan,

Selain itu, ia meningkatkan tahap amaran daripada dua kepada tiga.

Letusan awal diikuti oleh "aktiviti phreatomagmatic yang hampir berterusan" menghantar kepulan asap, 1,500 meter ke udara.

Letusan phreatomagmatic berlaku apabila batu cair bersentuhan dengan air bawah tanah atau permukaan, kata Princess Cosalan, seorang saintis di agensi itu, menyamakannya dengan menuang "air ke atas kuali panas".

Cosalan memberitahu AFP pelepasan abu dan wap reda dalam beberapa jam selepas letusan awal, tetapi berkata pihaknya di tapak institut itu terus mengesan gempa bumi gunung berapi dan satu lagi letusan adalah "kemungkinan".

Penduduk lima kampung diarah meninggalkan rumah mereka, kata jurucakap pertahanan awam wilayah Kelvin John Reyes kepada AFP.

Lebih 12,000 orang tinggal di penempatan itu, menurut data rasmi terkini yang tersedia.

Polis dikerahkan untuk menghalang orang ramai memasuki kawasan berisiko tinggi.

Taal ialah salah satu gunung berapi paling aktif di negara itu yang dilanda letusan dan gempa bumi secara berkala kerana lokasinya di lingkaran gunung berapi Pasifik,

Akses ke pulau gunung berapi, yang pernah menjadi rumah kepada ribuan komuniti dilarang sejak Januari 2020.

Ia ketika letusan menyebabkan abu setinggi 15 kilometer dan memuntahkan lahar merah panas, menghancurkan banyak rumah, membunuh ternakan dan menghantar puluhan ribu ke tempat perlindungan.

Julai lalu, agensi seismologi menaikkan tahap amaran kepada tiga selepas Taal meletus semula.

Paras amaran diturunkan semula kepada dua sebelum letusan Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:58 PM