Kawasan yang dilitup abu di bandar Juban, wilayah Sorsogon. - FOTO AFP
Kawasan yang dilitup abu di bandar Juban, wilayah Sorsogon. - FOTO AFP
AFP

Manila: Gunung berapi di timur Filipina memuntahkan awan gelap yang besar hari ini, menyebabkan penduduk berhampiran dipindahkan dari bandar yang dilitupi abu.

Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku letusan seterusnya.

Letupan dari gunung berapi Bulusan di wilayah luar bandar Sorsogon berlangsung kira-kira 17 minit, menyebabkan kepulan kelabu setinggi sekurang-kurangnya satu kilometer (km), menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.

Sebagai tindak balas, pihak berkuasa menaikkan amaran kepada satu pada sistem lima peringkat, menunjukkan 'pergolakan peringkat rendah'.

"Terdapat letusan freatik gunung berapi Bulusan, bermakna letupan itu disebabkan oleh air mendidih di bawah kawah," kata ketua institut Renato Solidum kepada radio tempatan DZBB.

Institut itu berkata, abu menjejaskan dua bandar di Sorsogon, kira-kira 500 km di selatan ibu negara Manila, tetapi tiada laporan segera mengenai kecederaan.

Di bandar Juban, dua kampung mengalami 'sifar pandangan' akibat abu tebal dan sebuah trak bomba dikerahkan untuk membersihkan kawasan itu, kata kakitangan pejabat bencana Dennis Despabiladeras.

"Pemindahan sedang berjalan di sana, tetapi keutamaan kami adalah warga emas dan mereka yang menghidap asma," katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa lapangan terbang Manila berkata, tiada penerbangan terjejas akibat letusan itu setakat ini, walaupun juruterbang telah diberi amaran jika berada berdekatan kawasan itu.

Pihak berkuasa mengingatkan penduduk bahawa kemasukan ke dalam radius empat km di sekitar gunung berapi adalah dilarang dan menasihatkan mereka yang tinggal berhampirannya supaya berhati-hati 'kerana peningkatan kemungkinan letusan freatik secara tiba-tiba dan berbahaya'.

Penduduk berhampiran lembah dan sungai turut diarah berwaspada terhadap aliran lumpur sekiranya hujan lebat.

Gunung berapi Bulusan telah aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan berpuluh letusan serupa direkodkan pada 2016 dan 2017.

Filipina terletak di 'Lingkaran Api' Pasifik yang aktif secara seismik dan mempunyai lebih 20 gunung berapi aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 5:14 PM