Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi menentang kenaikan harga LPG di Almaty, Kazakhstan. - FOTO AFP
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi menentang kenaikan harga LPG di Almaty, Kazakhstan. - FOTO AFP
Agensi

Almaty: Strim langsung Instagram oleh seorang blogger Kazakhstan menunjukkan api sedang marak di pejabat datuk bandar di bandar terbesar Kazakhstan hari ini, dan bunyi tembakan dapat didengari dari arah berhampiran.

Reuters melaporkan, bangunan di Almaty dikelilingi penunjuk perasaan yang kelihatan menembusi kepungan pasukan keselamatan walaupun ia melepaskan bom tangan yang letupannya boleh didengari di seluruh pusat bandar.

Bantahan bermula di barat pada hari Ahad berhubung kenaikan harga bahan api, yang membawa kepada peletakan jawatan kerajaan hari ini.

Sebelum ini, AFP melaporkan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev memecat keseluruhan Kabinetnya, susulan pergolakan yang melanda negara terbabit selepas ribuan rakyat mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api.

Arahan yang diterbitkan di laman web presiden berkata, Kassym-Jomart Tokayev, menerima peletakan jawatan Kabinet Kazakhstan, diterajui Perdana Menteri, Askar Mamin.

Susulan perkembangan itu, Timbalan Perdana Menteri, Alikhan Smailov, akan mengambil alih tugas Perdana Menteri sehingga barisan Kabinet baharu diwujudkan.

Pihak berkuasa Kazakh mengawal keadaan. - FOTO Reuters
Pihak berkuasa Kazakh mengawal keadaan. - FOTO Reuters

Bercakap kepada Kabinet sementara, Tokayev mengarahkan barisan kepemimpinan yang tinggal dan gabenor di peringkat wilayah untuk melaksanakan kembali kawalan harga gas petroleum cecair (LPG) dan memperluaskan mekanisme itu kepada produk komoditi lain seperti gasolin, diesel dan barangan pengguna yang penting.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk membangunkan perundangan muflis peribadi, selain mempertimbangkan langkah untuk membekukan harga utiliti dan memperuntukkan subsidi bayaran sewa kepada keluarga miskin.

Katanya, situasi perkembangan semasa menyaksikan bandar yang terjejas teruk dengan insiden demonstrasi mula merekodkan penambahbaikan, selepas keadaan darurat diisytiharkan sehingga membawa kepada larangan berada di luar dan kawalan pergerakan.

Perintah darurat di Almaty dan Mangystau bermula hari ini hingga 19 Januari dan perintah berkurung berkuat kuasa bermula jam 11 malam hingga 7 pagi.

Penunjuk perasaan menaiki trak sekitar bandar Almaty. - FOTO Reuters
Penunjuk perasaan menaiki trak sekitar bandar Almaty. - FOTO Reuters

Terdahulu, pergolakan di Almaty dikatakan meruncing apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap ribuan peserta perhimpunan di bandar terbesar di Kazakhstan itu, selepas perarakan membantah isu harga minyak menjadi di luar kawalan.

Menurut dua wartawan AFP, polis mula melepaskan tembakan selepas kira-kira 5,000 peserta perhimpunan enggan beredar.

Aplikasi seperti Telegram, Signal dan WhatsApp gagal berfungsi hari ini apabila ribuan berhimpun di jalan bagi menyatakan bantahan terhadap isu harga minyak dan kerajaan.

Perhimpunan sama turut diadakan di beberapa bandar kecil di Kazakhstan, bermula dengan Zhanaozen.

Keadaan huru-hara mula tercetus berikutan peningkatan harga (LPG di Kazakhstan, namun tindakan kerajaan yang kembali mengurangkan harga bahan komoditi itu gagal memuaskan hati peserta perhimpunan.

Presiden Kazakhstan, semalam menerusi Twitter berkata pihak berkuasa sudah mengambil keputusan untuk mengurangkan harga LPG di wilayah barat, Mangystau bagi mewujudkan kestabilan di dalam negara.

Mengikut laporan media bebas, pengumuman kerajaan mengenai pengurangan harga LPG kepada 50 tenge (48 sen) bagi setiap liter berbanding 120 tenge (RM1.16) pada awal tahun, gagal merungkai demonstrasi di Zhanaozen dan Mangystau.

Presiden turut memaklumkan bahawa suruhanjaya kerajaan sudah mula merintis usaha di Aktau.

"Suruhanjaya berkenaan diarahkan untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi merungkai masalah yang timbul, demi mewujudkan kembali kestabilan di dalam negara kita.

"Agensi penguat kuasa undang-undang juga dikerah untuk memastikan ketenteraman awam tidak diancam.

"Peserta demonstrasi mesti menunjukkan tanggungjawab dan kesediaan untuk berbincang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:11 PM