PROGRAM vaksinasi di sebuah pusat beli-belah di Manila. FOTO AFP
PROGRAM vaksinasi di sebuah pusat beli-belah di Manila. FOTO AFP
AFP

Manila: Filipina menggantung sementara keputusan membenarkan kemasukan pelancong yang divaksin sepenuhnya dalam usaha untuk menghalang varian koronavirus baharu ketika sebahagian besar penduduknya masih belum divaksinasi.

Ia diputuskan ketika negara itu melancarkan vaksinasi selama tiga hari yang menyasarkan sembilan juta orang seawal 12 tahun dalam usaha untuk mempercepatkan suntikan Isnin lalu.

AFP melaporkan, setakat ini, negara itu tidak melaporkan sebarang kes varian Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan sudah merebak ke seluruh dunia.

Manila mengumumkan rancangan minggu lalu untuk membenarkan pelancong yang divaksin sepenuhnya dari kebanyakan negara masuk mulai 1 Disember kerana ia berusaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas.

Tetapi pasukan petugas Covid-19 kerajaan mengubah keputusan pada hujung minggu dan mengumumkan penggantungan penerbangan dari tujuh negara Eropah, selain larangan awal ketibaan dari beberapa negara Afrika.

"Pasukan Petugas Antara Agensi untuk Pengurusan Penyakit Berjangkit (IATF) merasakan perlu untuk menggantung kemasukan pelancong asing, memandangkan kebimbangan seluruh dunia terhadap varian Omicron," kata pesuruhjaya Biro Imigresen Jaime Morente.

Keputusan itu menjadi tamparan hebat kepada pengendali pelancongan di seluruh negara yang terkesan akibat ketiadaan pelawat antarabangsa dan sekatan ke atas perjalanan domestik sejak sempadan ditutup pada Mac 2020.

Pelancongan adalah pemacu utama ekonomi Filipina, menyumbang hampir 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2019, dengan data rasmi menunjukkan kehadiran lebih lapan juta orang melawat.

Ia merosot kepada 5.4 peratus tahun lepas apabila ketibaan pelancong menjunam 82 peratus kepada 1.48 juta.

Kerajaan melonggarkan sekatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana kadar jangkitan harian berada pada paras terendah sejak awal tahun selain jumlah vaksinasi di seluruh negara meningkat.

Namun, kemunculan Omicron menimbulkan kebimbangan sekatan boleh dikenakan semula.

Kira-kira satu pertiga daripada 110 juta orang di negara ini diberi vaksin sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:55 PM