PENGGUNA pengangkutan awam di London kini diarahkan untuk kembali memakai pelitup muka. FOTO EPA
PENGGUNA pengangkutan awam di London kini diarahkan untuk kembali memakai pelitup muka. FOTO EPA
AFP

Geneva: Individu yang belum lengkap divaksin terhadap Covid-19, termasuk individu berusia 60 tahun ke atas perlu menangguhkan perjalanan ke kawasan yang mempunyai penularan tempatan virus itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan walaupun sekatan perjalanan dilakukan, ia tidak akan menghalang penyebaran varian Omicron.

Omicron, varian Covid-19 baharu yang membimbangkan oleh WHO menimbulkan risiko 'sangat tinggi' secara global, dengan mendorong banyak negara menutup pintu sempadan mereka.

"Larangan perjalanan tidak akan menghalang penyebaran varian ini, dan ia memberi beban berat kepada kehidupan dan mata pencarian," kata WHO dalam satu kenyataan nasihat perjalanan mengenai Omicron.

"Selain itu, mereka boleh memberi kesan buruk kepada usaha kesihatan global semasa pandemik dengan menghalang negara untuk melaporkan dan berkongsi data epidemiologi dan penjujukan," katanya.

Omicron pertama kali dilaporkan kepada WHO kurang seminggu lalu selepas dikesan di selatan Afrika, awal bulan ini dan kemudian dilaporkan muncul di beberapa negara.

WHO memaklumkan berlaku peningkatan negara yang memperkenalkan sekatan perjalanan termasuk melarang sementara ketibaan dari negara tempat varian itu ditemukan.

WHO berkata, sehingga Ahad, 56 negara melaksanakan sekatan perjalanan yang bertujuan untuk melambatkan 'pengimportan' varian baharu itu.

"Dijangka varian Omicron akan dikesan di semakin banyak negara apabila pihak berkuasa negara meningkatkan aktiviti pengawasan dan penjujukan," katanya.

"Orang yang masih belum lengkap divaksin dan tidak mempunyai bukti pernah dijangkiti virus itu serta berisiko mendapat penyakit Covid-19 yang teruk dan meninggal dunia.

"Ia termasuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau mereka yang menghidap penyakit seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes, (mereka) harus dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan," kata WHO.

WHO menasihatkan negara untuk menggunakan "pendekatan berasaskan bukti dan berasaskan risiko" apabila melaksanakan langkah perjalanan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:15 AM