ORANG ramai turun ke jalanan membantah kejadian rogol ke atas remaja perempuan. FOTO EPA
ORANG ramai turun ke jalanan membantah kejadian rogol ke atas remaja perempuan. FOTO EPA

New Delhi: Seorang remaja perempuan di India diperkosa 33 lelaki dalam tempoh lapan bulan selepas teman lelakinya mengugut menyebarkan video seksnya.

Serangan seksual yang mengejutkan negara itu dilapor berlaku di beberapa lokasi dalam daerah Thane di Maharashtra.

Pegawai kanan polis wilayah timur, Dattatray Karale berkata, setakat ini 24 individu ditahan termasuk dua remaja berkait kes itu.

Katanya, mangsa dilapor stabil dan masih menerima rawatan di hospital kerajaan.

"Ia bermula apabila kekasih remaja itu merogolnya pada Januari lalu dan merakam kejadian. Dia mula memeras ugut mangsa menggunakan video itu.

"Selepas itu, rakan dan kenalan lelaki terbabit merogol mangsa secara berkumpulan, sekurang-kurangnya empat ke lima kali di lokasi berbeza termasuk di Dombivli, Badlapur, Murbad dan Rabale.

"Mangsa menamakan 33 suspek dengan 24 orang dan dua remaja bawah umur ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dilapor Times of India.

Dilaporkan kejadian berlaku antara 29 Januari hingga 22 September lalu.

Polis sedang memburu baki suspek manakala individu yang diberkas direman sehingga 29 September.

Insiden malang yang menimpa remaja perempuan terbabit membangkitkan kemarahan penduduk dengan orang ramai berkumpul di luar balai polis tempat suspek ditahan dan menyelar perbuatan berkenaan.

Undang-undang rogol India dipinda selepas tragedi menimpa Jyoti Singh pada 2012 di New Delhi.

Pelatih fisioterapi itu dipukul, diseksa serta dirogol beramai-ramai ketika menaiki bas bersama rakan lelakinya yang turut menjadi mangsa belasahan.

Jyoti ketika itu berusia 23 tahun meninggal dunia selepas dua minggu dirawat di hospital, manakala empat suspek kes dihukum pada Mac 2020. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:55 AM