Aktor berkarektor, Nawazuddin Siddiqui terkilan kerana filem berbajet rendah lakonannya Paan Singh Tomar dan Gangs Of Wasseypur tidak mendapat publisiti meluas di India sedangkan kedua-dua filem itu mendapat sambutan baik dan kritikan memberangsangkan daripada penonton.

“Penggiat industri filem India seolah-olah tidak memandang langsung kepada filem bajet rendah dan hanya mengutamakan filem komersial walaupun jalan cerita dan kualitinya tidaklah seberapa.

“Filem lakonan saya, Miss Lovely mendapat sambutan yang amat baik di seluruh dunia dan membuat banyak keuntungan, tetapi filem itu tidak ditayangkan di India. Perkara itu amat mengecewakan saya,” katanya.

Menurut Nawazuddin, meskipun kebanyakan filem lakonannya hanya diterbitkan menggunakan bajet rendah, tetapi ia mempunyai nilai cerita yang tinggi.

“Saya pelik kenapa filem sedemikian dipandang sepi di India. Ia sepatutnya turut diberi publisiti meluas dan beri peluang kepada penonton di India menontonnya. Saya yakin mereka nak tengok filem itu selain filem komersial yang terlalu banyak ditayangkan di pawagam.

“Peminat juga tahu filem lakonan saya mencapai banyak kejayaan pada peringkat antarabangsa, tetapi sayang sekali mereka tidak tahu bila filem itu dilancarkan kerana tiada langsung berita mengenainya,” katanya.

Terkini, aktor itu sedang mempromosikan filem lakonan terbarunya berjudul Badlapur, arahan Sriram Raghavan. Filem itu turut menampilkan bintang handalan lain seperti Varun Dhawan, Yami Gautam dan Huma Quereshi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:37 AM