FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

Manila: Filipina akan melonggarkan sekatan pergerakan di Manila walaupun angka jangkitan Covid-19 masih belum berkurangan, bagi merancakkan aktiviti ekonomi.

Restoran, gereja dan salun kecantikan akan dibenarkan beroperasi semula pada kapasiti lebih rendah bermula Khamis ini.

"Kita perlu menetapkan kesihatan sejagat dan ia hanya dapat dicapai secara berhati-hati dengan menyeimbangkan tindakan Covid-19 untuk kesihatan orang awam dan kesihatan ekonomi untuk negara," kata Harry Roque, jurucakap Presiden Rodrigo Duterte.

Jumlah jangkitan mencecah 140,000 pada minggu lalu berpunca daripada varian Delta.

Manila diletakkan di bawah peringatan tahap kedua tertinggi yang menggantikan garis panduan terdahulu namun, mengakibatkan orang awam dan pemilik perniagaan keliru aktiviti mana yang boleh dilakukan.

Perintah berkurung hanya dilaksanakan pada bangunan, jalan atau kejiranan tertentu, berbanding tindakan sebelum ini yang memerlukan seluruh bandar atau wilayah dikenakan perintah berkurung.

Pelanggan yang sudah menerima vaksin penuh boleh mengunjungi restoran dan salun kecantikan sehingga 10 peratus kapasiti dan lokasi luar bangunan pula boleh menempatkan sehingga 30 peratus kapasiti tanpa mengira status vaksinasi.

Enam daripada 10 individu dewasa di Manila sudah menerima vaksin, berbanding hanya 22 peratus individu dewasa menerima vaksin di seluruh negara.

Gereja juga dibenarkan beroperasi namun hanya terhad kepada 10 peratus kapasiti.

Sejak mula dikesan tahun lalu, Filipina mencatatkan lebih 2.2 juta kes jangkitan dengan lebih 35,000 maut akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:44 PM