PENUMPANG menunggu untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, Jakarta,. FOTO AFP
PENUMPANG menunggu untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, Jakarta,. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Indonesia kembali mengetatkan lagi protokol kesihatan Covid-19 bermula 3 hingga 20 Julai berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di republik itu, dengan jumlah kes mencecah lebih 2.1 juta selain kes baharu harian melampaui 20,000.

Presiden Joko Widodo dalam siaran langsung menerusi melalui laman YouTube Sekretariat Presiden, hari ini, mengumumkan pemerintah akan menerapkan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.

Kes baharu Covid-19 di Indonesia meningkat mendadak sejak dua minggu lepas berikutan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas, selain kehadiran varian Delta yang lebih cepat menular.

Sejak 24 Jun lepas, kes positif harian meningkat melepasi angka 20,000 kes, sedangkan sebelum sambutan Aidilfitri kes harian pernah dicatatkan di bawah angka 4,000 kes.

Pelaksanaan PPKM Darurat itu membabitkan 48 kabupaten dan kota dengan menyasarkan kes baharu turun di bawah 10,000 kes.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan keperluan, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:18 PM