UJIAN saringan Covid-19 di pelabuhan feri di Banda Aceh. FOTO AFP s
UJIAN saringan Covid-19 di pelabuhan feri di Banda Aceh. FOTO AFP s

Bernama

Jakarta: Semakin meruncing, kes baharu Covid-19 di Indonesia berterusan meningkat dan hampir mencecah 48,000 kes semalam.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, semalam, sebanyak 47,899 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,615,529 kes.

Sebanyak 865 lagi kematian direkodkan bagi tempoh 12 tengah hari kelmarin hingga 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat virus itu kini meningkat kepada 68,219 .

Angka yang tinggi itu dicatatkan walaupun pemerintah Indonesia menguatkuasakan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali sejak 3 Julai lalu, selain mengetatkan lagi protokol kesihatan di pelbagai sektor sosio dan ekonomi.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dalam satu kenyataan semalam, berkata PPKM Darurat dilanjutkan selama enam minggu lagi bermula semalam.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 12:52 PM