Putera Hamzah. FOTO AFP
Putera Hamzah. FOTO AFP
Agensi

Amman: Putera Jordan, Hamzah bin Al-Hussein, berharap dapat menggulingkan Raja Abdullah dengan sokongan Arab Saudi menurut dua rakannya yang dibebaskan pada Ahad.

Kedua-dua mereka mempunyai hubungan erat dengan negara itu iaitu bekas ketua istana Bassem Awadallah yang juga pemegang kerakyatan Arab Saudi dan bekas wakil khas kerajaan, Sharif Hassan bin Zaid.

AFP melaporkan, kedua-duanya menghadapi perbicaraan di mahkamah akhir bulan ini dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika didapati bersalah.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga saudara raja yang dituduh terbabit dalam menggugat keamanan kerajaan tidak akan diadili.

Pihak berkuasa berkata, kesnya diselesaikan secara kekeluargaan.

Pemerintah Arab Saudi menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam komplot terbabit.

Ketika berita berkenaan pertama kali tersebar, Riyadh dengan segera menyatakan 'sokongan penuhnya' kepada Jordan.

Tetapi ketika Hamzah tidak dibicarakan, peranannya didakwa akan menjadi penentu perbicaraan.

"Putera Hamzah bertekad untuk memenuhi cita-cita peribadinya untuk memerintah, melanggar perlembagaan dan adat keluarga diraja.

"Untuk berjaya, dia berusaha memanfaatkan keprihatinan dan masalah penduduk untuk menghasut dan menimbulkan rasa kecewa dalam masyarakat," kata dakwaan itu.

Awadallah dianggap oleh beberapa media Jordan sebagai rapat dengan Putera Mahkota Saudi, Mohamed bin Salman.

Dakwaan itu mengatakan, Awadallah 'dekat dengan kerajaan Arab Saudi' dan mempunyai rangkaian hubungan di luar negara.

Hamzah dilaporkan sangat peka dengan pendirian Riyadh.

"Sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada saya di Jordan, adakah pegawai Saudi akan menolong saya atau tidak, Hamzah dilaporkan bertanya kepada Awadallah, kata dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 11:35 AM