PUTERA Hamzah Hussein. FOTO fail AFP
PUTERA Hamzah Hussein. FOTO fail AFP
AFP

Nicosia: Bekas Putera Mahkota Jordan dikenakan tahanan rumah, namun beliau menafikan terbabit dengan konspirasi terhadap abangnya, Raja Abdullah II.

Dalam video yang dihantar ke BBC, Putera Hamzah Hussein berkata, ketua angkatan tentera mengunjunginya sebelum itu dan memberitahu: "Saya tidak dibenarkan keluar dari rumah, berkomunikasi atau bertemu dengan orang."

Beliau berkata, beberapa rakannya juga ditahan, pasukan keselamatannya ditarik balik dan akses internet dan telefonnya disekat.

Bagaimanapun, putera itu mendakwa beliau tidak terbabit dengan apa-apa konspirasi dan 'tidak bertanggungjawab kepada kegagalan kerajaan kerana rasuah dan ketidakkecekapan yang berlaku dalam struktur kerajaan sejak 15 hingga 20 tahun lalu dan ia semakin buruk'.

Video berkenaan dihantar oleh peguam Hamzah kepada BBC selepas laporan bekas pembantu kanan diraja Jordan antara beberapa suspek ditahan pada Sabtu.

Hamzah adalah anak sulung kepada Allahyarham Raja Hussein dan isterinya, Permaisuri Noor.

Beliau mempunyai hubungan baik dengan abang tirinya, Abdullah dan popular dalam kalangan pemimpin puak.

Abdullah melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 berdasarkan permintaan Abdullah, namun pada 2004 menarik balik gelaran itu dan mengurniakan gelaran itu kepada anak sulungnya, Hussein.

Agensi berita rasmi Petra menamakan Bassem Awadallah, dan Sherif Hassan Zaid antara individu yang ditahan dalam operasi khas, menurut sumber keselamatan.

Sherif adalah gelaran dikurniakan kepada individu yang rapat dengan keluarga diraja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 8:52 AM