PENJAGA gol wanita Iran, Zohreh Koudaei.
PENJAGA gol wanita Iran, Zohreh Koudaei.
AFP

Amman: Jordan menggesa Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) menyiasat dan mengenalpasti jantina sebenar penjaga gol skuad bola sepak wanita Iran.

Iran menewaskan Jordan 4-2 menerusi penalti selepas seri tanpa jaringan pada 25 September lalu untuk mara ke Piala Asia Wanita 2022 buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Presiden Persatuan Bolasepak Jordan, Putera Ali Bin Al-Hussein dalam media sosialnya semalam mahukan pemeriksaan jantina ke atas pemain Iran terbabit selepas mendakwa penjaga gol itu seorang lelaki menyamar wanita.

Ali menganggap ia isu yang sangat serius jika dakwaannya benar dan menggesa AFC melancarkan siasatan segera.

Tetapi pegawai Iran, Maryam Irandoost, menafikan dakwaan itu.

"Petugas perubatan memeriksa dengan teliti setiap pemain dari segi hormon bagi mengelakkan masalah berbangkit, jadi saya memberitahu semua penyokong supaya tidak bimbang," kata Maryam. "Kami akan memberikan apa sahaja dokumen yang dimahukan AFC tanpa membuang masa."

Penjaga gol Iran, Zohreh Koudaei menyelamatkan dua penalti Jordan yang melayakkan pasukannya ke Piala Asia 2022.

Menurut Maryam, dakwaan itu hanyalah alasan yang digunakan untuk menutup kekalahan Jordan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 10:36 AM