MAKKAH. FOTO AFP
MAKKAH. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi mengetatkan peraturan ke atas mereka yang skeptikal terhadap vaksin dengan melarang golongan ini melaksanakan haji atau umrah dan perjalanan ke luar negara, menghalang kemasukan ke universiti, pusat beli-belah serta pejabat.

Kelompok yang digelar antivaksin ini mengancam untuk menggagalkan usaha global bagi mengekang penularan Covid-19, namun pihak berkuasa negara Teluk termasuk Arab Saudi meletakkan tekanan ke atas mereka yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

Ketika ini, negara berkenaan hanya membenarkan mereka yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19 untuk melaksanakan ibadah umrah atau mereka yang sembuh dari jangkitan virus itu dalam tempoh enam bulan untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

Malah, langkah sama akan dilaksanakan untuk musim haji yang bakal tiba nanti, kata seorang sumber kerajaan.

Bulan ini, hanya mereka yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19 dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara selepas lebih setahun sekatan perjalanan dikenakan.

Malah, kerajaan Arab Saudi juga menyatakan bermula 1 Ogos nanti, vaksinasi akan diwajibkan untuk berurusan dengan pejabat kerajaan dan swasta termasuk institusi pendidikan serta lokasi hiburan dan pengangkutan awam.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa mengarahkan hanya mereka yang sudah menerima vaksin boleh kembali ke tempat kerja.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, ia sudah memberikan lebih 12 juta dos vaksin Covid-19 di negara yang mempunyai populasi lebih 34 juta.

Setakat ini, ia mencatatkan 440,000 kes jangkitan dengan lebih 7,200 kematian.

Selain Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengambil langkah tegas dengan hanya membenarkan mereka yang sudah divaksin boleh menyertai acara sukan atau konsert.

Bahrain pula hanya mengehadkan kemasukan ke pusat beli-belah, restoran dan salun hanya untuk mereka yang sudah divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:32 AM