BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO ARKIB NSTP
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO ARKIB NSTP
Rohaniza Idris


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan menyatakan beliau dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Kelapan itu, Mohd Naaim Mahmod dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Muhyiddin dan semua delegasi menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

"Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 atau Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu adalah tidak benar.

"Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi," katanya dalam kenyataan yang dimuat turun di Facebook (FB) Muhyiddin, hari ini.

Isu mengenai dakwaan itu ditimbulkan seorang Ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq dalam media sosial yang tampil membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dirinya adalah individu membawa jemaah tidak divaksinasi itu ke Tanah Suci dan mengaku dirinya tidak divaksinasi.

Abu Syafiq menamakan Muhyiddin dan delegasinya ke Arab Saudi serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man antara yang tidak divaksin Covid-19 dan Meningococcal Meningitis ketika menunaikan umrah.

Mohd Naaim menjelaskan lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan ke Arab Saudi diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Ini termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan. Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19.

"Pergerakan delegasi di Arab Saudi dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:48 PM