Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Agensi

Jeddah: Arab Saudi akan menerima lebih 20,000 jemaah umrah dari dalam dan luar negara dalam tempoh beberapa hari berikutnya, lapor Okaz pada Sabtu yang memetik Kementerian Haji dan Umrah negara itu. .

Jurucakap kementerian itu, Hisham Saeed berkata, jemaah dari luar negara yang dibenarkan masuk untuk ibadah itu hanya dari negara yang tidak dikenakan sekatan perjalanan berdasarkan arahan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awan (GACA) Arab Saudi.

Ketika ini, negara yang dikenakan sekatan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Habsyah, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.

Larangan itu susulan lonjakan kes Covid-19 dan penularan variannya di negara terbabit.

Dalam pada itu, kira-kira 500 syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah luar negara sudah bersiap sedia untuk menerima jemaah yang sudah divaksin.

Individu yang mahu menunaikan umrah boleh menempah pakej umrah dan membuat pembayaran menerusi kira-kira 30 platform elektronik dan laman web yang menyediakan tempahan peringkat global, menurut ahli Jawatankuasa Kebangsaan untuk Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri

Hanya mereka yang sudah lengkap divaksin boleh memohon visa umrah.

Individu berkenaan juga perlu mempunyai tahap kesihatan yang cemerlang dan mematuhi protokol untuk memastikan tahap keselamatan jemaah luar negara, kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 10:23 AM