LOKASI serangan letupan pada Sabtu, lalu. FOTO AFP
LOKASI serangan letupan pada Sabtu, lalu. FOTO AFP
AFP

Kabul: Taliban pada Isnin mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari di Afghanistan sempena sambutan Aidilfitri.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan berkenaan, gencatan senjata itu daripada hari raya pertama sehingga hari raya ketiga.

Bagaimanapun, ia memberi amaran akan bertindak balas 'jika musuh melakukan serangan pada hari berkenaan' dan 'pihaknya akan mempertahankan diri dan wilayahnya'.

Gencatan senjata itu selepas kerajaan menyalahkan Taliban atas serangan bom di luar sebuah sekolah perempuan di Dasht-e-Barchi, yang mengorbankan 50 orang.

Sekolah itu terletak di pinggir ibu negara yang kebanyakannya dihuni oleh komuniti Syiah Hazara.

Bagaimanapun, Taliban menafikan bertanggungjawab atas kejadian letupan berkenaan yang paling berdarah dalam tempoh setahun lalu.

Letupan pada Sabtu itu ketika Tentera Amerika Syarikat terus mengeluarkan 2,500 tentera terakhirnya yang masih berada di Afghanistan.

Dalam pada itu, abc News melaporkan kebanyakan mangsa kejadian letupan itu berusia antara 11 hingga 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 8:49 AM