FOTO mayat diikat atas kereta yang tular di media sosial. FOTO Twitter
FOTO mayat diikat atas kereta yang tular di media sosial. FOTO Twitter
Agensi

New Delhi: Amat menyentuh hati apabila seorang anak terpaksa mengikat mayat bapanya di atas kereta sebelum memandunya ke pusat pengebumian di Agra, Uttar Pradesh, India.

Memetik Daily Mirror, ia usaha terakhir lelaki itu selepas tidak mendapat bantuan kecemasan kerana kekurangan ambulans akibat krisis Covid-19 yang melanda negara itu.

Sekeping gambar menunjukkan mayat diikat atas kereta yang dimuat naik di Twitter itu tular hingga meruntun hati netizen.

Media tempatan melaporkan wilayah itu mengalami lonjakan kes dengan Agra merekodkan 600 kes setiap hari yang menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu ambulans lebih enam jam untuk membawa mayat keluarga mereka ke pusat pengebumian.

Malah, pusat perubatan swasta menolak menerima kemasukan pesakit hingga menyebabkan pesakit Covid-19 maut ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan tempat rawatan kosong.

Dianggarkan, seorang meninggal dunia setiap empat minit di New Delhi dengan hampir semua katil di unit rawatan rapi penuh.

Malah, hospital di New Delhi menghantar mesej bantuan selepas tidak mampu untuk menghadapi situasi itu selain tidak lagi menerima pesakit.

Susulan itu, Setiausaha Kementerian Pertahanan Britain, Ben Wallace menawarkan bantuan untuk meringankan beban ditanggungIndia.

"United Kingdom akan menghantar apa yang diperlukan India buat masa ini iaitu ventilator dan kompresor mesin oksigen," katanya dalam Sky News.

Dalam pada itu, AFP melaporkan India merekodkan 3,650 kematian akibat Covid-19 hari ini, kenaikan 350 kes berbanding hari sebelumnya.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 204,832, walaupun kebanyakan pakar mengesyaki jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

Negara berkenaan berdepan gelombang jangkitan baharu dengan hampir 380,000 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:32 AM