POLIS melakukan siasatan di lokasi letupan bom di luar gereja berkenaan. FOTO EPA
POLIS melakukan siasatan di lokasi letupan bom di luar gereja berkenaan. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Suami isteri yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian letupan bom di luar kawasan gereja di Makkasar, Sulawesi Selatan, pada Ahad, disahkan anggota kumpulan pengganas Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu baru berkahwin enam bulan lalu.

"Suspek lelaki dikenali sebagai "L ", sementara wanita "YSF", seorang pekerja swasta. Polis masih menyiasat suspek lain yang turut terbabit dalam perancangan kejadian itu," kata Argo pada sidang media menerusi webinar, di Jakarta.

JAD antara kelompok pengganas di Indonesia yang terbabit dalam beberapa kejadian keganasan di Indonesia sejak 2004, kumpulan itu turut dikaitkan dengan kegiatan pengganas di Iraq dan Syria.

Dalam kejadian 10.20 pagi semalam, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal bertindak meletupkan diri di luar kawasan Gereja Katedral di Makassar, yang membunuh kedua-duanya, serta mencederakan 19 orang awam.

Sementara itu, media tempatan melaporkan empat lagi suspek anggota kumpulan itu ditahan di Sulawesi Selatan dalam operasi besar-besaran polis Indonesia memburu anggota kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:42 PM