GAMBAR fail, seorang militan bersenjatakan pistol ketika melancarkan serangandi Thamrin, Jakarta padaJanuari tahun lalu. - Agensi
GAMBAR fail, seorang militan bersenjatakan pistol ketika melancarkan serangandi Thamrin, Jakarta padaJanuari tahun lalu. - Agensi
AFP

Jakarta: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam menamakan sebuah kumpulan militan yang melancarkan serangan di Jakarta pada tahun lalu sebagai organisasi pengganas.

Jabatan Negara AS berkata, Jamaah Ansharut Daulah (JAD) adalah sebuah kumpulan pengganas yang berpangkalan di Indonesia dan ditubuhkan pada 2015 serta merangkumi 24 kumpulan ekstremis yang menjadi pengikut Daish.

AS juga mengumumkan sekatan terhadap empat militan sebagai usaha menghalang akses Daish terhadap sistem kewangan antarabangsa.

Militan dari JAD melancarkan serangan termasuk pengebom berani mati di Thamrin, Jakarta pada Januari tahun lalu yang menyebabkan lapan orang termasuk empat penyerang maut.

Pegawai AS memberitahu, pembiayaan serangan itu disokong militan Daish di Syria.

Kumpulan yang dinamakan sebagai organisasi pengganas dikenakan pelbagai sekatan termasuk dihalang terbabit dengan urusan perniagaan dengan rakyat AS dan pembekuan aset mereka di AS.

JAD dikaitkan dengan beberapa keganasan di Indonesia termasuk serangan bom api di gereja yang menyebabkan seorang kanak-kanak maut serta merancang serangan pada perayaan Krismas yang berjaya digagalkan pihak berkuasa.

Antara empat militan yang dikenakan sekatan oleh AS, dua adalah warga Indonesia.

Mereka adalah Bahrumsyah yang kini bersama Daish di Syria. Dia dipercayai mengarahkan serangan di Indonesia dan menyalurkan dana kepada militan di negara itu.

Seorang lagi ialah Aman Abdurrahman yang kini dipenjara di Indonesia tetapi dianggap sebagai pemimpin de facto semua penyokong Daish di negara itu dan yang membenarkan serangan di Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:08 AM