PASUKAN forensik membawa beg mengandungi bahagian badan manusia. FOTO EPA.
PASUKAN forensik membawa beg mengandungi bahagian badan manusia. FOTO EPA.
BERNAMA

Jakarta: Dua suspek pengebom berani mati meletupkan diri mereka di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi selatan hari ini, mencederakan 14 orang setakat ini.

Setakat 12.30 tengah hari waktu Indonesia Barat, polis Indonesia belum mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.

Menurut Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.

"Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan.

"Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan)," katanya dalam sidang media di Jakarta.

Letupan itu turut membabitkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, bahagian tubuh yang berkecai bertaburan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:53 PM