Kebakaran di kem pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh. Foto Agensi
Kebakaran di kem pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh. Foto Agensi
AFP

Dhaka: Lima orang dipercayai terbunuh dan sekurang-kurangnya 20,000 lagi penduduk Rohingya melarikan diri selepas pondok di kem pelarian etnik itu di tenggara Bangladesh terbakar.

Beberapa pegawai kem berkata pada semalam, ia merupakan kebakaran ketiga yang berlaku dalam tempoh empat hari di kem berkenaan.

Hampir satu juta penduduk minoriti Muslim itu dari Myanmar kebanyakannya melarikan diri daripada operasi tentera bagi menentang kumpulan militan Rohingya di negara mereka pada tahun 2017 ke Bangladesh.

Para pelarian itu kemudian ditempatkan di daerah Cox's Bazar, tenggara negara terbabit.

Beberapa pegawai berkata, kebakaran itu bermula di satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar dan kemudiannya merebak ke tiga buah lagi kem sehingga menyebabkan para pelarian melarikan diri dan membawa apa shaja barangan dari pondok-pondok yang menjadi tempat tinggal mereka.

Asap tebal dapat dilihat dari pondok-pondok itu menerusi video yang dikongsikan di media sosial ketika ratusan anggota bomba dan pekerja bantuan memadamkan kebakaran serta menyelamatkan pelarian ke tempat selamat.

"Ia merupakan kebakaran yang besar. Sekurang-kurangnya 20,000 orang melarikan diri," kata seorang pentadbir Cox's Bazar, Mamunur Rashid kepada AFP.

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, Gazi Salahuddin berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan pada tengah malam.

"Kami mendengar lima orang terbunuh akibat kebakaran tersebut dan mayat mereka berada di dalam kem tersebut," katanya.

Beliau memberitahu bahawa polis tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga mayat-mayat mangsa kebakaran ditemui.

Beberapa pegawai memberitahu AFP, satu penilaian awal mendapati lebih 900 pondok yang menjadi tempat tinggal untuk 7,400 pelarian itu terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 11:54 AM