SIRIPORN (kanan) bersama dengan ambergris ditemuinya. FOTO Agensi
SIRIPORN (kanan) bersama dengan ambergris ditemuinya. FOTO Agensi
Agensi

Surat Thani: Seorang wanita tidak menyangka objek yang ditemui ketika berjalan di tepi pantai Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, adalah muntah paus.

Lebih mengejutkan, muntah paus atau ambergris itu dianggarkan bernilai 185,000 pound sterling (kira-kira RM1.04 juta).

Muntah paus itu seberat tujuh kilogram masih belum mempunyai pembeli setakat ini.

Siriporn Niamrin, 49, menemui muntah paus itu ketika berjalan di tepi pantai selepas hujan lebat melanda kawasan itu.

Dia kemudian menemui objek pelik itu tanpa mengetahui ia adalah muntah paus sebelum membawa pulang ke rumahnya, yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai.

Penemuan itu diceritakan kepada jirannya yang kemudian terkejut apabila mengetahui objek ditemui itu adalah muntah paus atau ambergris.

Bahan itu lazimnya digunakan dalam pembuatan minyak wangi berjenama.

Bagi memastikan ketulenannya, Siriporn bersama jirannya membakar muntah paus itu sehingga cair.

Tidak lama selepas itu, objek berkenaan mengeras semula.

"Saya gembira jika muntah paus ini dapat dijual dan hasilnya boleh digunakan untuk membantu komuniti.

"Jika ada pembeli saya akan menjualnya dan diharap dapat menjana jumlah wang yang besar," katanya seperti dilaporkan portal The Sun.

Ambergris lazimnya didapati dalam usus ikan paus terbentuk akibat tindak balas ketika proses penghadaman mamalia itu.

Ia dikatakan sangat berharga dalam pembuatan industri minyak wangi dan kosmetik dunia.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ambergris kerap ditemui di Teluk Thailand dengan beberapa laporan menyebut di Rayong, Surat Thani dan wilayah Trang.

Malah, awal Oktober tahun lalu, seorang pengutip sampah di negara itu turut menemui sebongkah ambergris bernilai 537,500 pound sterling (kira-kira RM2.9 juta).

Sementara pada Disember, media melaporkan seorang nelayan di Thailand mendakwa menemui ambergris yang dianggarkan mencecah 100 juta baht (RM13.4 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:32 AM