PARA penunjuk perasaan membasahi kain yang akan digunakan untuk membungkus tabung gas pemedih mata. FOTO AFP
PARA penunjuk perasaan membasahi kain yang akan digunakan untuk membungkus tabung gas pemedih mata. FOTO AFP
AFP

Yangon: Deretan kain sarung secara logiknya tidak kelihatan berbahaya namun, ia berjaya 'menundukkan' junta tentera Myanmar.

Ini kerana, menurut kepercayaan penduduk tempatan, pakaian wanita terutama pakaian dalam boleh menjatuhkan kuasa lelaki.

Sejak 1 Februari lalu, negara berkenaan berdepan pergolakan setiap hari dengan kemuncaknya junta tentera menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematian orang awam.

Mereka menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap peserta tunjuk perasaan.

Namun, dalam taktik terkini, ia membabitkan penggunaan pakaian dalam wanita dan skirt labuh atau longyi yang digantung di sepanjang jalan sebagai 'senjata' memerangi junta tentera.

Menurut tradisi lama Myanmar, bahagian bawah wanita dan pakaian yang menutupinya dapat menjatuhkan kuasa - yang dikenali sebagai "hpone" - dari lelaki.

"Jika mereka lalu di bawah longyi, ia bermakna hpone akan musnah," kata aktivis, Thinzar Shunlei Yi kepada AFP.

Sebilangan tentera tidak mahu menyentuh longyi seorang wanita kerana bimbang ia boleh memusnahkan peluang mereka di barisan depan.

"Ketika masyarakat menggantung longyi di atas tali, (polis dan askar) tidak dapat berjalan di jalanan, mereka tidak dapat menyeberanginya, dan mereka harus menurunkannya," katanya.

Golongan wanita kini menggunakan kepercayaan itu sebagai strategi perlindungan mereka.

Sebilangan longyi juga memaparkan wajah pemimpin junta Min Aung Hlaing.

Malah, wajahnya juga tertera pada poster yang ditampal di laluan sepanjang hab komersial.

Penunjuk perasaan percaya bahawa cara berkenaan akan melambatkan pasukan keselamatan yang teragak-agak untuk memijak gambar pemimpin mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:16 PM