PENUNJUK ditahan pasukan keselamatan Myanmar. FOTO AFP
PENUNJUK ditahan pasukan keselamatan Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Pasukan keselamatan Myanmar menggunakan kekerasan menyuraikan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan tentera di seluruh negara itu, hari ini, dengan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam tindakan keras itu.

Junta tentera meningkatkan kekuatannya bagi menentang gerakan demonstrasi besar-besaran yang menuntut pembebasan pemimpin digulingkan Aung San Suu Kyi.

Polis dan tentera melepaskan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu terakhir dalam usaha untuk menyuraikan demonstrasi.

Hari ini, bilangan penunjuk perasaan semakin bertambah di beberapa bahagian negara itu sebagai tindak balas kepada kempen secara dalam talian yang 'menuntut' orang ramai membanjiri jalanan.

Tiga lelaki terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera ketika pasukan keselamatan menyuraikan satu demonstrasi di Dawei, menurut sukarelawan perubatan dan laporan media tempatan.

Pyae Zaw Hein, seorang pekerja penyelamat, berkata kepada AFP, ketiga-tiga mereka ditembak mati dengan peluru hidup, sementara yang cedera terkena peluru getah.

"Mungkin lebih ramai yang terkorban kerana bilangan yang cedera terus bertambah," katanya.

Pusat media tempatan Dawei Watch mengesahkan tiga lelaki maut dalam kejadian itu.

Pegawai di pusat perdagangan Yangon mula menyuraikan perkumpulan orang ramai di pusat bandar, beberapa minit sebelum protes bermula awal hari itu, tetapi tidak jelas sama ada pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup.

"Polis mula menembak ketika kami tiba," kata Amy Kyaw, seorang guru sekolah rendah berusia 29 tahun di kawasan kejiranan Yangon.

"Mereka tidak memberikan sepatah amaran. Ada yang cedera dan beberapa guru masih bersembunyi di rumah jiran."

Siaran langsung di media sosial menunjukkan pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perkumpulan orang awam di Yangon dan juga menggunakan meriam air di utara di Mandalay, ibu kota negara itu.

Sejak pengambilalihan tentera pada 1 Februari, Myanmar dikejutkan dengan demonstrasi besar-besaran, selain dan kempen penjawat awam untuk tidak bekerja.

Beberapa wartawan yang mendokumentasikan tindakan pasukan keselamatan semalam turut ditahan, termasuk jurugambar dari Associated Press di Yangon.

Berhampiran universiti utama di bandar ini, polis melepaskan beberapa bom tangan untuk menyuraikan orang ramai di lokasi demonstrasi.

Lebih daripada 850 orang ditangkap, didakwa atau dijatuhkan hukuman sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau Persatuan Bantuan Tahanan Politik.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kuasa besar lain mengecam keganasan terhadap penunjuk perasaan dan menuntut junta melepaskan kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 2:07 PM